Baru-baru ni saya di beri tugasan untuk membuat ringkasan jurnal bagi subjek Teori Amalan dan Penriagaan Islam (TAPI).
Tajuk yang saya pilih adalah Etika Perniagaan Islam.
Jadi, inilah hasilnya selepas saya membuat ringkasan dari jurnal yang dikarang oleh Prof Madya Syed Omar Bin Syed Agil.
Sama-samalah kita mepraktikkan etika ini dalam perniagaan untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.
Etika
ialah satu perkataan yang berasal dari bahasa Greek `Ethos' yang memberi maksud
peraturan yang membatasi gelagat manusia. Oleh itu apabila disebut etika
perniagaan ia memberi erti peraturan-peraturan yang membatasi gelagat atau
tindakan manusia dalam kegiatan perniagaan. Etika perniagaan Islam adalah
diperoleh daripada dua sumber utama hukum Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Selain
itu, ia juga dibincangkan oleh ulamak-ulamak dalam satu cabang daripada ilmu
fiqh iaitu fiqh al-muamalat. Secara umumnya adalah penting untuk kita memahami tujuan
syariat untuk menentukan bentuk dan kandungan kegiatan perniagaan kita. Dengan
memahami etika perniagaan kita akan dapat memastikan perniagaan kita akan
diredhai oleh Allah.
Dalam
menggariskan etika perniagaan, Islam menjadikan 'Prinsip Tidak Memudharatkan'
sebagai asas penting. Prinsip ini merujuk kepada peraturan yang menggerakkan
tindakan dan gelagat pimpinan serta pihak bawahan dalam hubungan sesama mereka
dan yang memberi kesan di luar organisasi. Hubungan ini dapat menghalang serta
mengurangkan sifat dan tindakan negatif terhadap orang lain dan diri sendiri.
Ia juga merujuk kepada kesan produk atau perkhidmatan terhadap pengguna dan
alam sekitar. Ini bersesuaian dengan tujuan Syariat Islam diturunkan untuk
memelihara lima perkara asas iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dalam
menjalankan kegiatan perniagaan berlandaskan etika Islam seseorang usahawan
harus memastikan peraturan berikut dipatuhi.
Seseorang
usahawan Muslim haruslah memastikan bahawa niatnya hanyalah untuk mencapai
tujuan dan mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. dalam segala aspek kehidupannya. Salah
satu daripada etika penting dalam perniagaan ialah melaksanakan keadilan dan
ihsan. Oleh itu dalam kegiatan perniagaan kita harus melaksanakan keadilan,
kebajikan, memberi sedekah, serta tidak melakukan perkara keji, mungkar atau
menzalimi diri kita dan orang lain.
Tindakan
dan keputusan yang berdasarkan sifat amanah dan kebenaran adalah perlu bagi
memastikan urusan perniagaan itu adil dan setiap orang sama ada pembeli atau
pengusaha mendapat haknya. Kesannya, penipuan dan perpecahan akan dapat
dielakkan. Misalnya, penyorotan barang adalah berbahaya kepada masyarakat dan
negara kerana ia menyebabkan kekurangan barang yang dikehendaki oleh masyarakat
dan menyebabkan harga akan meningkat serta tekanan terhadap kadar inflasi.
Selain
itu, seseorang usahawan juga harus memastikan bahawa sebarang bentuk
pengiklanan atau promosi benar-benar mencerminkan kualiti dan kandungan barangan
atau perkhidmatan agar seseorang pembeli itu tidak merasakan bahawa dirinya
ditipu. Kaedah pemasaran yang dilarang ialah menggunakan wanita dalam media
cetak dan elektronik sebagai bahan pelaris atau untuk menarik masyarakat
membelinya. Kaedah ini akan merosakkan jiwa dan akhlak remaja khususnya dan
meningkatkan gejala-gejala sosial dalam masyarakat.
Tambahan
lagi, usahawan Muslim harus memastikan bahawa setiap timbangan haruslah
dilakukan dengan adil dan tanpa penipuan. Kita haruslah memberikan pengguna hak
mereka sejajar dengan harga yang mereka bayar. Manakala, gharar berlaku apabila pembeli terlampau ghairah untuk mendapatkan
keuntungan iaitu dengan menyifatkan barang yang dijual dengan sifat yang
berlainan dari yang sebenar.
Sementara itu, seseorang
usahawan Muslim seharusnya membebaskan diri dari perjudian dan riba sama ada
dalam pembiayaan atau pelaburan. Di Malaysia sumber-sumber pembiayaan yang
bebas dari riba semakin meluas. Usaha perlu dibuat oleh usahawan untuk mengenal
pasti sumber-sumber ini dan memanfaatkannya sebaik yang mungkin. Bank Islam Malaysia
Berhad (BIMB) menyediakan kebanyakan daripada pembiayaan-pembiayaan
ini untuk usahawan Islam dan bukan Islam.
Usahawan
juga perlu menguruskan manusia agar mereka dapat meningkatkan produktiviti dan
kualiti pengeluaran. Kita perlu menjaga hubungan baik dengan mereka dan menjaga
kebajikan mereka. Sekiranya kita tidak menjaga kebajikan mereka tetapi memaksa
mereka memberikan komitmen terhadap kualiti dan produktiviti maka kita menzalimi
mereka. Apabila pekerja merasakan diri mereka dizalimi maka mereka akan mulai membuat
keputusan untuk berhenti kerja.
Islam
juga sangat menekankan kualiti. Produk yang tidak berkualiti boleh menjejaskan
usaha untuk membangunkan masyarakat dari sudut mental, moral, dan kesihatan.
Generasi baru akan menghadapi banyak masalah termasuk anak-anak kita nanti. Kita
tidak mahu masyarakat yang berpenyakit dari semua sudut. Tindakan
undang-undang akan dihadapkan kepada seseorang usahawan sekiranya hal ini
berlaku dan akan merugikan pihak usahawan sendiri.
Sebagai
seseorang usahawan kita harus faham bahawa masyarakat pengguna bukanlah
masyarakat yang pasif tetapi aktif. Dengan adanya persatuan-persatuan pengguna
yang mempunyai matlamat menjaga hak-hak pengguna, kita harus berhati-hati dalam
mengeluarkan produk bagi mengelakkan diri kita daripada mengalami kerugian
kerana pengguna enggan membeli produk kita.
Adalah
bertentangan dengan prinsip Islam sekiranya seseorang usahawan itu membuat
sesuatu yang dikira sebagai melanggar kontrak yang telah dibuat dengan pihak
lain. Tambahan lagi, kontrak yang tidak jelas boleh menimbulkan ketidakadilan
kepada satu pihak. Ini akan mengakibatkan permusuhan di antara pihak yang
terlibat. Maka, sesuatu kontrak itu perlu dibuat dengan syarat dan rukun yang
jelas supaya berlaku adil.
Walaupun
Islam menganggap keusahawanan merupakan satu ibadat dan orang yang terlibat
akan mendapat balasan yang baik sekiranya seseorang usahawan itu mempunyai niat
yang baik dan melaksanakannya berdasarkan etika Islam namun ini tidak bermakna
dia boleh meninggalkan ibadat-ibadat khusus yang diwajibkan. Hendaklah kita menunaikan
ibadat seperti zakat perniagaan dan sembahyang bila tiba waktunya walaupun kita
terpaksa meninggalkan apa sahaja kegiatan yang kita sedang lakukan.
Di
samping itu, peniaga haruslah menetapkan harga yang adil dan berpatutan
terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan untuk pembeli. Harga haruslah
mencerminkan interaksi normal antara permintaan dan penawaran. Harga yang tidak
adil akan menyebabkan golongan yang tidak berkemampuan tidak dapat memiliki
barangan keperluan mereka. Ia juga akan menyebabkan inflasi dan memberi kesan
terhadap daya saingan barangan tempatan.
Akhir
sekali, terdapat tiga cara untuk kita melaksanakan etika perniagaan Islam iaitu
yang pertama, peniaga atau pengusaha haruslah mempunyai ilmu pengetahuan
mengenai etika perniagaan Islam dan ini menuntut mereka agar sentiasa memahami serta melaksanakan apa yang di gariskan oleh
syariat Islam. Seterusnya, pengguna harus memahami etika perniagaan Islam dan
memastikan agar peniaga dan pengusaha mengamalkannya. Mereka harus bertindak
secara aktif dalam mempertahankan hak-hak mereka sebagai pengguna dan
memberikan maklumat kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat
dalam memantau pelaksanaan etika perniagaan sekiranya terdapat penyelewengan.
Peranan kerajaan pula perlu menyediakan garis panduan yang jelas dan lengkap
mengenai etika perniagaan untuk di edarkan kepada peniaga dan pengusaha-pengusaha
serta menyediakan ruang bagi orang ramai untuk menyuarakan bantahan dan memberikan
maklumat sekiranya terdapat penyelewengan.
Kesimpulannya,
kita dapat melaksanakan dan mengamalkan etika perniagaan berdasarkan dari niat
kita, sifat amanah dan benar, hubungan dengan pihak pekerja dan pengguna, pengeluaran,
pembiayaan, pengiklanan dan sebagainya berlandaskan Islam. Ini bersesuaian
dengan ayat al-Quran, ‘Wahai orang-orang
yang beriman masuklah dalam Islam keseluruhannya’.